Kain Felt
Felt Craft yang berasal dari Jepun, kini semakin menjadi kegilaan kaum wanita di Malaysia. Cheq Sue mengambil peluang ke KL hujung minggu lepas membeli beberapa paket kain felt di kedai Craft World, SS2 PJ. Melihatkan hasil yang sungguh comel dan berwarna warni di blog teman-teman lain, hati ini rasa terpanggil juga untuk mencuba. Paling tidakpun sekadar membuat Pin Cushion untuk tempat cucuk jarum . Tengoklah nanti jika ada kelapangan akan kucuba juga membuatnya……hanya sekadar untuk kepuasan diri sendiri sahaja. Sambil tu jom cuci mata lihat hasil felt craft dari pencarian di google buat pembakar semangat
Cth gambar dari google:
Cameron Highland – Percutian Bajet
Siapa kata untuk berjalan-jalan (melancong dlm negeri) perlu ada bajet yang banyak? Jika perjalanan telah dirancang, kita boleh melakukan aktiviti singgah di lokasi percutian yang sehaluan dengan destinasi dituju. Dalam kes Cheq Sue, hujung minggu lepas sempena cuti Awal Muharram, kami sekeluarga berangkat ke Kuala Lumpur. Banyak misi telah dilaksanakan di sana….termasuklah bershopping untuk koleksi sulaman, pakaian anak-anak, jumpa adik beradik, kawan-kawan, urusan pejabat di HQ termasuklah mencari tempat untuk bengkel di KL. Tidak ketinggalan pekena makanan kegemaran di restoran/gerai yang selama ini menjadi rutin semasa tinggal di KL.
Perjalanan pulang ke Penang, kami melencong sebentar ke Cameron Highland, sengaja nak bawa anak-anak rasa udara nyaman di atas sana. Adam dan Aisyah cukup happy dapat melawat ladang strawberry dan makan aiskrim dengan buah strawberry segar dari ladang. Tidak ketinggalan sedikit kenang-kenangan untuk mereka.
Blouse Polos Bersulam Benang
Edisi cuci mata dan pembakar semangat buat peminat sulaman benang. Lihatlah betapa kemas dan cantik sulaman benang ini. Ini adalah hasil kreativiti rakan blogger cheq-sue iaitu Maya. Maya ni memang kreatif dan serba boleh orangnya. Sebenarnya dah lebih setahun cheq-sue beli blouse untuk Aisyah ni. Baru kali ini tergerak nak publish cerita pasal blouse ni.
Dengan hanya mengaplikasikan teknik-teknik mudah sahaja, Maya mampu mencipta suatu hasil sulaman benang yang cukup indah. Tertarik dengan kekemasannya menyebabkan cheq-sue pun order satu untuk anak dara kesayangan.
Perhatikan gambar besar di atas, teknik yang digunakan ialah:
- Jahitan back stitch
- Jahit Kia
- Jahit Lurus
- Jahit Jelujur
- Jahit French Knot.
Gambar Aisyah Sofea menggayakan blouse yang ada tertulis namanya di baju.
Bengkel Sulaman Riben
Hari ini 2 Dec 2009, cheq-sue amat bertuah kerana dapat mengikuti bengkel sulaman riben yang dianjurkan oleh PUSPANITA Daerah Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang. Cheq-sue dapat pelepasan daripada Bos untuk menyertai bengkel ini kerana beliau memahami akan minat cheq-sue dalam seni sulaman. Thank you BOSS!
Selama ini hanya merujuk daripada buku Sulaman Riben Pn Suzana Mustafa sahaja. Apabila dapat berguru secara terus ni rasa lebih faham dan yakin. Walaupun bukan belajar secara langsung daripada tuan punya buku tetapi cheq-sue bertuah juga kerana dapat belajar daripada anak murid Pn Suzana iaitu Cikgu Siti dari Balik Pulau, Pulau Pinang.
Gambar-gambar ini adalah antara contoh-contoh sulaman riben yang telah disiapkan oleh cikgu Siti dan pembantunya Kak Su. InsyaAllah jika kelapangan nanti cheq-sue nak cuba juga buat beberapa projek sulaman riben. Bukan nak lawan tokey ya
…cuma nak explore dan praktis apa yang telah dipelajari. Untuk mengajar, cheq-sue belum bersedia…..kerana kurang pengalaman dan ilmu pun belum dikhatam lagi.
Antara gambar-gambar yang sempat dirakam semasa belajar tadi:
Projek Terbaru – Sulam Benang, Manik & Labuci
Cheq-sue baru sahaja siap menyudahkan sulaman ini utk sebelah tangan baju pada pukul 2.00 pagi 26 Nov 2009. Design sepenuhnya tunggu sedikit masa lagi, kerana cheq-sue bercadang nak tambahkan jahitan manik tabur pula. Terima kasih kepada Cik Glamstarz kerana idea design ini cheq-sue dapat setelah berkunjung ke fotopages beliau.
Berikut beberapa teknik yang sempat cheq-sue snap untuk dikongsi bersama kalian.
1. Cheq-sue siapkan bunga daisy dahulu untuk seluruh lengan baju. Guna teknik lazy daisy.
2. Rupa benang di bahagian belakang kain. Matikan jahitan di tengah belakang kain.
3. Seterusnya gunakan teknik tali air untuk jahitan batang bunga.
4. Kemudian jahitkan 2 butir manik silinder dan 1 labuci hijau untuk membentuk daun. Buatkan dalam 3 kelopak daun.
Beginilah hasilnya. Selamat mencuba.
Bengkel Sempena Penghujung Tahun 2009
Sempena musim cuti sekolah ini cheq-sue sekali lagi membuka semula Pendaftaran untuk Bengkel Sulaman Manik atau Sulaman Benang kepada semua peminat seni kreatif ini yang tidak jemu-jemu menghubungi cheq-sue dan bertanyakan bilakah bengkel sulaman akan diadakan semula.
Semenjak bulan puasa lalu cheq-sue berehat panjang daripada melakukan sebarang bengkel mahupun aktiviti menyulam kerana mengalami sindrom mabuk-mabuk & pening-pening lalat. (Rezeki nak dapat baby lagi la nih). Alhamdulilllah kini kesihatan semakin ok…maka masa yang masih ada akan cheq-sue kongsikan dengan kalian untuk mempelajari teknik-teknik sulaman manik dan benang.
Maklumat lanjut sila lihat di BENGKEL
Jahit Manik Berry (Aisyah Sofea)
Teknik manik berry ini hampir sama dengan teknik manik jurai bagi jurai yang tergantung-gantung tu. Cuma perincian di bahagian buah ada sedikit kelainan. Juraian manik berry ini boleh juga dibuat pendek iaitu dengan menggunakan 2-3 manik sahaja. Untuk di bahagian leher begini sesuai dibuat jurai panjang seolah-olah loket rantai.
Berikut adalah langkah-langkahnya:
1. Keluarkan jarum dari bawah kain. Lokasi mengikut kesesuaian (cth bawah bunga water lily)
2. Masukkan seberapa byk manik sesuai ikut panjang jurai yg dikehendaki melalui jarum dan diakhiri dengan sebutir manik pearl sederhana besar. Tolak manik rapat hingga ke pangkal benang.
3. Kemudian untuk mendapatkan bentuk berry, masukkan 5 butir manik bulat kecil (bilangan manik kecil hendaklah sesuai utk separuh lilitan pearl). Cucuk jarum pada lubang pearl arah bertentangan
4. Tarik jarum keluar dan ulangi langkah 3 sehingga seluruh permukaan pearl dilitupi manik kecil tersebut.
5. Akhir sekali masukkan sebutir manik kecil kedalam jarum dan halakan mata jarum kembali ke lubang pearl yang di hujung jurai. Perlahan-lahan susupkan jarum melepasi semua lubang pearl dan manik-manik hingga ke pangkal. Keluarkan jarum di sebelah dalam kain dan matikan jahitan.
Selamat mencuba semua. Jumpa lagi….kalau tak faham juga, boleh daftar untuk sertai bengkel sulaman manik bersama cheq-sue yea.
Bunga Sakura di ILHAM Jawi
Seminggu sebelum Induksi kump 1/2009 bermula, kami amat teruja melihatkan pemandangan yang sungguh cantik di sekitar blok pentadbiran kerana pokok-pokok yang menghiasi lanskap kami rupa-rupanya mengeluarkan bunga yang sangat cantik seakan-akan bunga Sakura. Ada yang berwarna pink dan ada juga yang berwarna putih. Nasib baik cheq-sue sempat juga rakam sedikit gambar pemandangan indah ini kerana bunga ni mudah gugur dan musimnya hanya 1-2 minggu sahaja. Nampaknya kat Parit Buntar juga pokok-pokok ini banyak ditanam di tepi jalan raya utama sebagai pokok lanskap. Hingga kini cheq-sue masih tercari-cari apakah nama pokok ini yang sebenar?
Pemandangan di luar tingkap kelihatan pokok-pokok sakura ini. Wakru ni kami sedang berbincang untuk aktiviti LDK semasa induksi nanti.
Manik Baju Raya Aisyah Sofea
Selepas menyiapkan baju raya Ain, kini giliran baju raya Aisyah pula. Kesian Aisyah, setiap kali melihat cheq-sue menjahitkan manik pada baju Ain, terkulat-kulat mata Aisyah melihat seolah-olah mengharapkan bajunya juga dijahit manik macam tu.
Baju dibeli siap di pasar malam kat rumah aja. Selepas Kak Zarina minta jahitkan manik pada baju raya Ain, barulah cheq-sue terfikir nak jahitkan manik pada baju raya Aisyah juga. Selama ini buat utk diri sendiri sahaja….untuk anak rasa mcm tak perlu sebab badan mereka cepat membesar, sayang baju tu dipakai sekejap sahaja,
Maka, inilah pertama kali cheq-sue jahitkan manik pada baju raya Aisyah. Lihat aja corak pada baju, cheq-sue terus terlintas design nih. Comel & cute…..secomel pemiliknya. Baju ni cheq-sue siapkan selama 5 jam iaitu dari pukul 7.00 pagi hingga 12.00 tgh tadi. Selepas bersahur & sembahyang subuh mata dah tak boleh lelap, sambil buat kerja-kerja rumah, cheq-sue terus aja menzahirkan idea sulaman manik di atas baju raya Aisyah ini.
Tengoklah aksi-aksi Aisyah ni:
Tangannya mesti nak gentel-gentel manik berry yang berjurai-jurai tu. Manik berry ni memang menarik perhatian kanak-kanak. InsyaAllah akan cheq-sue kongsikan teknik Manik Berry ini nanti.
Model Baju Raya ni (Aisyah Sofea 3 tahun) baru bangun tidur & belum mandi terus bergaya depan kamera.
Selamat Menyambut Kedatangan Bulan Ramadhan
Assalamualaikum….WBT
Kepada semua pembaca blog ini, cheq-sue sekeluarga mengucapkan Selamat Berpuasa. Semoga puasa kali ini lebih membawa Barakah kepada kita semua. Amin






